Ikuti kisah terperinci hasil tinjauan kru Penyingkap Fakta di pelbagai lokasi menggerunkan masyarakat. ... lokasi didakwa berlaku pelbagai kejadian aneh atau penampakan entiti paranormal. Kami melangkah bersama, mengharung onak, duri dan sembilu , mendokumentasikan kenangan pahit manis namun disatukan oleh minat sama. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

GAMBAR KUBUR DI WAKTU MALAM (TINJAUAN K2K 4 DALAM 1)

Sebagai rujukan semua pembaca, blog ini tidak pernah menjanjikan kru Penyingkap Fakta
akan berjaya merakamkan gambar entiti paranormal, setiap kali tinjauan dilaksanakan.



Tinjauan dari kubur ke kubur, K2K 4 dalam 1, disempurnakan malam semalam disertai oleh Hanafiah Jamil, Rizal, Mirza Ahmad Mirza Jahangir, Haji Azmil Abdul Aziz, Azlan Amir dan Azizi.


Sebelum bergerak ke lokasi, semua peserta mendapat sehelai baju Penyingkap Fakta dan berpeluang menjamu selera bersama kru. Mereka juga diberikan taklimat ringkas mengenai semua peralatan elektronik digunakan dalam puluhan tinjauan sebelum itu.


Bersesuaian dengan nama kumpulan, 'Penyingkap Fakta', kami berkunjung ke beberapa lokasi didakwa 'berhantu' atau 'berpuaka', merakamkan gambar serta visual. Namun pengisian tinjauan tidak semestinya sama setiap kali kami melangkah, bergantung kepada kesesuaian.

Tinjauan K2K di antara jam 11 malam dan 3 pagi semalam, melaksanakan pendekatan berbeza.

Kira-kira jam 2.30 pagi, kami duduk di struktur simen di hujung kubur.


"Alhamdulillah, kita kini berada di tanah perkuburan Islam. Nabi Muhammad pernah bersabda kepada sahabat, dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur dan sekarang aku membenarkan kerana perbuatan itu mampu mengingatkan kamu tentang kematian dan akhirat. Mengapakah sebelum itu Nabi melarang? Waktu Islam mula disebarkan, warga Arab jahiliah masih mengamalkan ajaran datuk nenek mereka. Antaranya, mereka pergi ke kubur, memohon hajat dan niat dikabulkan di situ. Baginda khuatir, aqidah penganut agama Islam tergelincir akibat mengikut amalan terdahulu," ujar Ustaz Zaharuddin Zainal.

Semua kru dan peserta terus mendengar penjelasan penasihat kru Penyingkap Fakta, ustaz Zaharuddin Zainal, guru juga imam Masjid Ibnu Khaldun di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Beliau al-hafiz, graduan lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir.


Suasana hening kubur pada waktu pagi dipecahkan oleh majlis ilmu terbabit.


"Namun baginda membenarkan umat Islam menziarahi kubur selepas ajaran dan kefahaman Islam semakin berkembang dan baik. Kelebihan menziarahi kubur, mendorong kita untuk bertaubat. Melihat orang meninggal dunia, mengingatkan, kita semua bakal menyusul. Oleh itu, apabila menziarahi kubur Islam, berikan salam terlebih dahulu. Bercerita mengenai kubur di tanah perkuburan ini, satu keunikan dan barangkali jarang berlaku. Kita kemudian akan bertanya, adakah amalan untuk bekalan ke akhirat mencukupi? Kita harus akur, tujuan kita hidup di atas dunia ini untuk membina jambatan, digunakan untuk melintas ke alam akhirat. Jadi, InsyaAllah, kita semua akan bertambah rajin untuk beribadah. Mungkin sebilangan kita mengerjakan solat seminggu sekali, solat Jumaat atau setahun sekali, solat sunat hari raya sebelum ini. Justeru menziarahi kubur membuka ruang untuk kita lebih mengingati kematian sekaligus komited melakukan ibadat. Jika kita melupakan tentang mati, maka ramai menunda untuk bertaubat, hati berbisik, mati lambat lagi.  Tidak hairan, jika sebilangan kita berkata, pencen nanti aku akan bertaubat, itu pun kalau sempat. Sementara itu kita mungkin terus mencari harta dunia, biarpun sudah memiliki harta berjuta nilainya," sambung ustaz.


Selain daripada kru, Mazidul, Razali, Boy, Jet, Atoi, Suhaimi dan Zulfadhli, tinjauan malam semalam turut disertai oleh kontraktor, Gazali Abdul Rahman, 46 tahun..

Namun penyokong kuat aktiviti kru Penyingkap Fakta itu pulang lebih awal berikutan kepenatan bekerja di siang hari.


Tambah ustaz Zaharuddin, kubur dikenali sebagai taman syurga atau taman neraka. Beliau kemudian berkongsi kisah membabitkan wali Allah, Sheikh Ibrahim Adham, berhubung persamaan di antara kubur dan kota.

"Menurut Sheikh Ibrahim, kota mula dibangunkan, dihuni sedikit penduduk dan apabil semakin berkembang, bilangan penduduk bertambah. Begitu juga kubur. Pada waktu mula dibuka, hanya sedikit bilangan jenazah disemadikan, semakin lama, semakin banyak"

"Kubur siapapun kita tinjau, pastikan tingkah-laku dijaga," Mazidul memperingatkan semua.

Razali kemudian menyampaikan taklimat ringkas di lokasi pertama.


Sebelum bergerak ke tanah perkuburan Islam, semua peserta diiringi kru Penyingkap Fakta berpeluang merakamkan gambar di tiga kubur lain.


"Bos, tolong ambil gambar saya," pinta Mirza Ahmad kepada Haji Azmil.

Mereka berdua berjalan beriringan, merakamkan gambar sambil saya perhatikan.


"Sebelum ini apabila hendak balik ke rumah di Seremban, Negeri Sembilan, saya terpaksa memandu melintasi beberapa tanah perkuburan. Saya memang takut, so scary tetapi apabila berada di sini dan setelah mendengar penjelasan ustaz, saya berasa lebih selesa dan kurang takut," bisik Mirza Ahmad kepada saya.


"Analoginya mudah. Kita sering berasa gentar untuk menduduki peperiksaan kerana kekurangan ilmu utuk menjawab soalan. Namun jika kita berilmu, perasaan gentar boleh ditangani lebih mudah," balas saya.

Gambar di bawah dirakamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CakapDotCom, Haji Azmil.


Di tanah perkuburan Islam, ustaz Zaharuddin menjawab beberapa soalan dikemukakan kepada beliau, sesi sememangnya diaturkan oleh kru Penyingkap Fakta.


"Jika menziarahi kubur, adakah kita akan diikuti oleh jin sewaktu pulang ke rumah?," soal Mirza Ahmad.

"Dalam hadis, Nabi bersabda, lokasi kegemaran dihuni oleh jin, antaranya, hutan, bukit-bukau, tasik, lombong dan tanah perkuburan. Andai ada entiti mengikut kita balik itu, bukan roh tetapi jin. Mereka suka menumpang tetapi  InsyaAllah, sewaktu melangkah keluar dari tanah perkuburan ini, kita akan berdoa semoga Allah memelihara kita daripada diganggu dan kejadian tidak diingini," balas Ustaz Zaharuddin.


"Lazimnya, ramai mendakwa terlihat pelbagai entiti menakutkan di sekitar kubur pada waktu malam. contohnya entiti digelar pocong. Boleh ustaz komen sedikit?," pinta Mazidul. 

"Sebenarnya, jin dan syaitan cuba menakutkan kita untuk menziarahi kubur kerana kubur mengingatkan kita kepada Allah dan alam akhirat. Ringkasnya, jelmaan jin dan syaitan di tanah perkuburan berupaya membuatkan kita berasa takut dan lalai untuk beribadat. Untuk pengetahuan semua, dalam hadis, tidak ditetapkan waktu menziarahi kubur, kita boleh datang siang atau malam dan antara hari afdal untuk menziarahi kubur, Khamis, Jumaat, Sabtu dan Isnin," jawab ustaz.


Soalan seterusnya dikemukakan oleh Azlan.

"Adakah memang digalakkan budaya menziarahi kubur, contohnya sebelum bulan Ramadan?"

"Tidak ada nas atau ketetapan. Setengah ulamak berpendapat, tidak digalakkan menziarahi kubur pada Hari Raya kerana hari raya, hari gembira untuk kita. Pada waktu pagi, kita pergi ke kubur dan bersedih. Setengah ulamak lain pula berkata, tiada masalah. Namun jika kita berpeluang menziarahi kubur pada Hari Raya, itu lebih baik. Ingin juga saya kongsikan, kelebihan orang menuntut ilmu, golongan sering pergi ke surau, masjid dan mengaji. Apabila mereka ini melintasi kubur biarpun sekejap, ahli kubur berasa sangat gembira kerana azab kubur di angkat buat sementara waktu," ujar ustaz.


"Budaya Melayu, kalau ada berlaku kematian dan jenazah disemadikan. Selalunya sebilangan ahli keluarga berakata, malam ini arwah balik, sedangkan bukan arwah balik," soal Razali.

"Ulamak berselisih pendapat berhubung hal itu, pertama, mengatakan apabila roh telah terpisah daripada jasad, meninggalkan dunia ini, mereka berada di alam satu lagi, barzah, alam kubur atau alam akhirat. Jadi mereka ini terdinding daripada kita. Setengah ulamak pula berpendapat, memang roh itu balik untuk melihat keadaan ahli keluarganya setelah ketiadaan arwah, apakah dilakukan oleh ahli keluarga? Amalan baik dilakukan oleh waris, dia mendapat kebaikan dan jika sebaliknya dia akan berasa sedih. Roh tidak mati, oleh itu selalulah sedekahkan Al-Fatihah kepada mereka. Jasad mati, roh tidak," jelas ustaz Zaharuddin.

Itu hanya sebahagian daripada maklumat dikongsikan oleh ustaz Zahruddin bersama kru dan peserta tinjauan K2K.


Jika berminat menyertai tinjauan seterusnya bersama kru tetap Penyingkap Fakta, sila hubungi Razali di talian 016 231 5812. 

** Ustaz Zaharuddin juga menawarkan perkhidmatan merawat mangsa terkena gangguan jin, dengan izin Allah.

5 Komen :

GematriA™ berkata...

SMTI.


Menarik!

pinkytigress berkata...

SMTI

sW33tdARLiNG berkata...

SMTI

pattkadir berkata...

SMTI

syamrin sam berkata...

Saudara Mazidul, saya cadangkan saudara menguji kemampuan peserta untuk di uji semasa berada di lokasi yang dianggap mempunyai aura negatif. Untuk lebih mudah difahami, saudara boleh lihat "Masih Dunia Lain - Trans7" sebagai contoh. Satu lagi, saya cadangkan saudara tinjau banglo tinggal yang berada di antara Tanjung Malim dan Changkat Asa. Jika dari Tanjung Malim, ia berada di sebelah kiri. Bapa saudara saya pernah menjaga tempat itu dan diberitahu, pernah di tingkat atas berkeadaan terang dan ada "orang" sedang memasak sedangkan tiada bekalan elektrik dan dapur. Harap saudara terima cadangan saya. Terima kasih.